Input your search keywords and press Enter.

‘Pasangan Hujung Minggu’ Boleh Mohon Rentas Negeri

M Update, 14/5/2020 – Suami atau isteri ‘hujung minggu’ boleh mula mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapat kebenaran perjalanan merentas negeri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keistimewaan itu hanya diberikan kepada pasangan yang berjauhan kerana bekerja di dua negeri berbeza. Bagaimanapun, perjalanan rentas negeri untuk ‘pasangan hari minggu’ pulang ke pangkuan keluarga masing-masing hanya terhad kepada sekali seminggu.

“Contohnya, suami di Johor Bharu manakala isteri berada di Melaka, justeru mereka ini terpisah kerana tuntutan kerja.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sudah umum mereka ini boleh merentas negeri, kita setuju tetapi hanya boleh balik sekali seminggu untuk jumpa pasangan dan anak-anak.

“Mereka bagaimanapun perlu melaporkan hasrat berkenaan kepada PDRM untuk diberikan kebenaran merentas negeri,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di Putrajaya, hari ini.

Sumber : BH Online

Leave a Reply