Input your search keywords and press Enter.

Tiada Kes Penyakit Kawasaki Di Malaysia

M Update, 21/5/2020 – Tiada kes penyakit Kawasaki yang menjangkiti kanak-kanak positif COVID-19 di Malaysia setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, sindrom penyakit itu bukanlah kebiasaan tetapi masyarakat perlu mengelakkan jangkitan terbabit kepada kanak-kanak dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, ia bermakna mematuhi S atau syarat ditetapkan di bawah PKPB, O mewaklili orang yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya perlu dilindungi, manakala P membabitkan penjarakan sosial yang perlu diamalkan setiap masa iaitu sekurang-kurangnya satu meter.

“Pencegahan adalah lebih baik, kalau boleh kita cegah daripada kanak-kanak dijangkiti dengan mematuhi dan mengamalkan SOP dalam kehidupan seharian, ” katanya pada sidang media harian, semalam.

Beliau berkata, penyakit Kawasaki membabitkan radang paru-paru, apabila virus itu melemahkan dinding dan aliran darah tidak kuat, pembentukan pembekuan boleh berlaku. Katanya, virus akan menyerang saluran darah dan menyebabkan radang dengan kanak-kanak berusia lima tahun berisko mengalaminya membabitkan gejala demam dan ruam di kawasan tertentu.

“Apabila ia menyerang saluran darah, jantung dan sebagainya ia akan melemahkan jantung dan saluran darah serta menjadi komplikasi,” katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan terdapat sindrom seperti penyakit Kawasaki pada kanak-kanak yang positif COVID-19. Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu dipetik sebagai berkata, laporan dari Eropah dan Amerika Utara mengesan sejumlah kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dengan radang pelbagai sistem serta beberapa ciri yang serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *