Input your search keywords and press Enter.

9 Lokasi Eko-Pelancongan Kembali Dibuka

M Update, 16/6/2020 – Sembilan lokasi eko-pelancongan di bawah seliaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman (PERHILITAN), kini dibuka semula kepada pelancong dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mulai semalam, selepas ditutup kepada umum sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa 18 Mac lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata selain Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, antara yang turut kembali beroperasi adalah Taman Negara Kuala Tahan dan Sungai Relau di Pahang, Taman Negara di Kuala Koh, Kelantan; Taman Negara Tanjong Mentong, Terengganu dan Paya Indah Wetlands di Dengkil, Selangor.

“Kerajaan boleh menetapkan SOP, bagaimanapun kita memerlukan kerjasama rakyat untuk sama-sama mematuhi bagi memastikan COVID-19 dapat dibendung,” katanya selepas melakukan lawatan di PKGK Kuala Gandah, di sini, semalam.

Beliau berkata, antara SOP yang ditetapkan di PKGK Kuala Gandah ialah hanya seramai 100 hingga 150 pelancong sahaja dibenarkan berada dalam kawasan terbabit dalam satu masa, di samping perlu mematuhi penjarakan sosial dan suhu badan dicatat ketika mendaftar masuk.

Shamsul Anuar berkata, pelancong luar negara dibenarkan melancong di semua destinasi menarik di negara ini namun mereka tetap perlu mematuhi semua SOP yang ditetapkan kerajaan.

Beliau turut memberitahu, pembangunan Perak Elephant Sanctuary (PES) di kawasan seluas lebih 80 hektar berhampiran Hutan Simpan Amanjaya dan Royal Belum dijadualkan bermula awal tahun depan dengan menggunakan model PKGK Kuala Gandah.

Bagaimanapun katanya, peranan PES tidak sama dengan PKGK Kuala Gandah yang terbabit dengan eko-pelancongan selain aktiviti tangkap dan pindah gajah liar yang mengancam sektor pertanian hingga menyebabkan kerugian kepada pelbagai pihak.

“Kerajaan akan berusaha membantu PKGK Kuala Gandah dalam memastikan ia dapat terus kekal menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di negara ini. Malah, nama pusat konservasi ini yang kini menempatkan 31 gajah, sudah pun terkenal di peringkat antarabangsa,” katanya.

Leave a Reply