Input your search keywords and press Enter.

Premis Anjur Majlis Sosial Ditutup Jika Kes Positif Dikesan

M Update, 25/6/2020 – Premis seperti hotel dan restoran yang menganjurkan majlis sosial seperti perkahwinan dan pertunangan, akan diarah tutup jika terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan yang hadir ke majlis berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menekankan kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) oleh mana-mana pihak yang mahu menganjurkan majlis sosial bermula Rabu ini.

Jelasnya, majlis sosial seperti perkahwinan kembali dibenarkan kerana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), masyarakat perlu membiasakan untuk kembali kepada kehidupan seperti sebelum ini, sambil mematuhi SOP ditetapkan.

“Kita akan melihat keseluruhan kes jangkitan. Jika ada kes positif dalam sesuatu majlis, barulah tindakan penutupan hotel atau restoran diambil.

“Jangkitan dalam majlis perkahwinan boleh berlaku jika tidak patuh SOP seperti amalkan penjarakan sosial, mencuci tangan dan memakai pelitup muka, manakala makanan perlu disediakan secara hidang dan bukan bufet.

“Dalam tempoh PKPP, kita nak lihat sama ada penularan COVID-19 boleh dikawal melalui pematuhan SOP. Kalau berjaya dikawal, ia bermakna ini adalah cara terbaik berbanding orang ramai perlu duduk di rumah seperti sebelum ini,” katanya pada sidang media harian mengenai COVID-19 semalam.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan semua majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, boleh dianjurkan bermula Rabu ini.

Turut dibenarkan adalah majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari jadi serta majlis perjumpaan semula, namun semua majlis itu dihadkan masa antara tiga hingga lima jam, dengan kapasiti kehadiran tidak lebih 250 orang.

Antara SOP yang digariskan adalah makanan majlis perlu secara hidang atau jika bufet disediakan, pramusaji hendaklah menghidangkan makanan berkenaan, manakala kehadiran tetamu perlu direkodkan serta penggunaan cecair pembasmi kuman dan pelitup separuh muka mesti dilakukan. – BH Online

Leave a Reply