Input your search keywords and press Enter.

Laut China Selatan Perlu Kekal Aman, Laluan Perdagangan – PM

M Update, 26/6/2020 – Pendirian Malaysia mengenai isu Laut China Selatan jelas dan konsisten bahawa ia seharusnya kekal aman dan menjadi laluan perdagangan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Malaysia berpendirian bahawa Laut China Selatan seharusnya kekal sebagai kawasan aman dan menjadi laluan perdagangan.

“Oleh itu, perkara-perkara yang berkaitan dengan Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa yang diakui secara universal, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut Antarabangsa 1982 (UNCLOS),” kata beliau.

Muhyiddin berkata demikian semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang diadakan secara maya buat pertama kalinya susulan wabak COVID-19, yang dihoskan Vietnam, di sini hari ini. Perdana menteri berkata memandangkan isu tersebut amat rumit dan sensitif, semua pihak perlu terus bekerjasama bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan.

“Dalam masa yang sukar ini, amat penting bagi kita memperhebatkan usaha untuk membina, memelihara dan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama demi kepentingan rantau dan masyarakat kita,” katanya.

Muhyiddin juga membangkitkan isu Palestin semasa sidang kemuncak itu, dengan menyatakan Malaysia sangat prihatin terhadap nasib rakyat Palestin yang berdepan ketidakstabilan berterusan di Timur Tengah.

“Malaysia mengutuk dan menolak pengumuman Israel baru-baru ini untuk melaksanakan rancangannya  mengilhakkan sebahagian wilayah Palestin yang ditakluki di Tebing Barat,” katanya.

Beliau berkata tindakan tidak sah dan unilateral oleh Israel secara jelas mempertikaikan keikhlasannya terhadap penyelesaian damai dan berkekalan terhadap konflik Israel-Palestin yang telah lama berlaku.

“Ini juga mengurangkan prospek penyelesaian dua negara, yang disokong oleh komuniti antarabangsa,” katanya.

Muhyiddin menegaskan bahawa Malaysia akan memberi sokongan dan solidariti berterusan terhadap rakyat Palestin. Beliau juga menggesa komuniti antarabangsa khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, supaya mengutuk dan menolak rancangan Israel itu dan memastikan rancangan itu tidak dapat dilaksanakan. – BERNAMA

Leave a Reply