Input your search keywords and press Enter.

KDN Haramkan Buku Didakwa Hina Jata Negara

M Update, 2/7/2020 – Sebuah buku yang didakwa menghina dan mengubah suai Jata Negara yang diubahsuai, Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia, sudah diharamkan Kementerian Dalam Negeri, berkuat kuasa semalam.

Menurut Warta Kerajaan bertajuk Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020, ia membabitkan larangan secara mutlak terhadap buku berkenaan.

Perintah bertarikh 1 Julai 2020 itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang antara lain menamakan penyunting buku, Kean Wong dan penerbitnya, Strategic Information and Research Development Centre beralamat di Petaling Jaya. Turut dinamakan dalam Warta Kerajaan itu, pencetak buku berkenaan, Vinlin Press Sdn Bhd, yang beralamat di Puchong.

Warta Kerajaan itu menyebut perintah itu dibuat melalui peruntukan mengikut subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] yang membolehkan Menteri membuat perintah berkenaan.

“Pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pekeliling, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan dalam jadual yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan, menggemparkan fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan memudaratkan kepentingan negara adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia,” katanya.

Polis kelmarin menyerbu pejabat sebuah syarikat penerbitan yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap logo Jata Negara di Seksyen 11, Petaling Jaya, selain merampas 313 naskah yang masih tersimpan dan belum terjual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dilaporkan berkata, siasatan mendapati syarikat penerbitan itu mencetak sebanyak 1,000 naskhah untuk edaran dengan 687 sudah pun terjual melalui jualan dalam talian.

Beliau juga berkata, pihaknya sudah membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BH Online

Leave a Reply