Input your search keywords and press Enter.

Panggil Semula 100 Saksi Kes Adib – Zuraida

M Update, 3/7/2020 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) disyorkan untuk memanggil semula semua saksi kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bagi mengesan pembunuh sebenar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata siasatan semula secara menyeluruh perlu dilakukan bagi membawa pelaku sebenar jenayah berkenaan ke muka pengadilan.

“Kes Adib sudah disahkan sebagai kes jenayah dan bukannya kemalangan. Bagaimanapun, hasil siasatan polis sebelum ini tidak dapat mengesan pelaku sebenar.

“Namun, apabila kes ini dibuka semula, saya berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat meneliti kembali dan bertemu dengan lebih 100 saksi berkaitan kes ini dan berharap penjenayah sebenar dapat ditemukan kali ini,” katanya selepas melawat Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, di sini hari ini.

Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).

Rabu lalu, polis mengesahkan akan melengkapkan siasatan dan menyelesaikan arahan yang dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya membabitkan Allahyarham Muhammad Adib selepas Mahkamah Koroner memutuskan punca kematiannya adalah akibat perbuatan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dilaporkan berkata, kes itu sedang dalam tindakan dan akan dihantar semula kertas siasatan serta berbincang dengan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. – BH Online

Leave a Reply