Input your search keywords and press Enter.

Polis Nafi Suspek Kes Pecah Rumah Dibebaskan Selepas Siasatan

M Update, 3/7/2020 – Polis menafikan dakwaan bahawa suspek dalam kejadian pecah rumah di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini, telah dibebaskan sebaik saja siasatan kes itu selesai.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata mangsa membuat laporan pada 8 Mei lalu berhubung insiden kediamannya dipecah masuk. Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa pulang ke kampung selama tujuh minggu sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak COVID-19.

“Kejadian itu disedari sebaik saja mangsa pulang semula ke kediamannya dan mendapati pelbagai barangan berharga seperti barang kemas, jam tangan serta pelbagai peralatan elektrik hilang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam laporan polis itu, Nik Ezanee berkata, mangsa memaklumkan tidak mengetahui siapa pelakunya.

“Bagaimanapun hasil siasatan dijalankan, kita berjaya menahan suspek di sebuah apartmen di Damansara Damai pada jam 12.45 tengah malam 14 Mei lalu,” katanya.

Melalui tangkapan itu, beliau berkata, polis turut menemui semula jam tangan mangsa. Hasil soal siasat, katanya, suspek mengaku pecah masuk rumah mangsa dan sudah menjual sebahagian barangan dicuri kepada seorang lelaki tempatan.

“Susulan itu, kita menahan dua lagi rakan subahat suspek dan menemui peralatan pecah rumah serta barangan elektrik dicuri dari kediaman mangsa, iaitu sebuah mesin basuh dan dua televisyen.

“Ketiga-tiga suspek kemudian direman lima hari dari 15 hingga 20 Mei lalu. Timbalan Pendakwa Raya Selangor kemudian bersetuju menuduh suspek pertama mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi,” katanya.

Suspek pertama turut dituduh mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995 kerana gagal memberi keterangan bagaimana harta diperoleh, manakala dua lagi suspek dijadikan saksi pendakwaan.

“Pertuduhan dijalankan pada 10 Jun lalu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya dan suspek mendapat jaminan mahkamah sementara menunggu tarikh perbicaraan pada 10 Ogos depan.

“Justeru dakwaan pemilik Facebook ‘Miza Mohamad’ bahawa suspek dibebaskan dengan jaminan polis adalah tidak benar,” katanya.

Beliau sekali gus menegaskan, pihaknya sentiasa memastikan setiap laporan polis yang dibuat orang ramai akan dikaji selidik dan disiasat dengan adil serta amanah. – BH Online

Leave a Reply