Input your search keywords and press Enter.

Ketegasan Terhadap PATI Adalah Kehendak Rakyat – KDN

M Update, 6/7/2020 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil serius dakwaan wujud isu perkauman terhadap warga asing, ketika pihak berkuasa negara ini mengendalikan pandemik COVID-19 seperti didakwa stesen televisyen, Al Jazeera.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata kerajaan kini lebih memihak kepada kehendak rakyat sendiri yang mahu semua pihak yang berada dalam negara ini mematuhi undang-undang ditetapkan.

“Dalam membangunkan negara, kita memang memerlukan tenaga kerja asing, terutamanya yang hendak melakukan kerja berat, bagaimanapun mereka perlu mengikut undang-undang negara.

“Mereka harus mempunyai permit serta dokumen yang sah. Sekiranya mereka mendakwa kerajaan begitu tegas atau garang, saya rasa itu memang dikehendaki rakyat.

“Rakyat mahukan kerajaan yang tegas terhadap mereka yang melakukan kesalahan, jadi kita jangan ambil tahu tentang media asing yang suka memutar belit cerita yang bukan-bukan,” katanya pada sidang media Majlis Penerimaan Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPC) di Pelabuhan Klang di sini.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menafikan laporan stesen televisyen antarabangsa itu. Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba, berkata laporan dokumentari itu tidak benar kerana kerajaan sedaya upaya menyelamatkan negara daripada penularan COVID-19. Menurutnya, langkah saringan yang dijalankan adalah tindakan bagi mengawal penularan wabak itu daripada terus menjangkiti orang lain. _ BH Online

Leave a Reply