Input your search keywords and press Enter.

Yuran Mahasiswa Universiti Awam Dikurangkan – Noraini

M Update, 15/7/2020 – Kerajaan bersetuju mengurangkan kadar yuran asrama, perkhidmatan dan aktiviti mahasiswa universiti awam (UA) sehingga 15 peratus.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata keputusan itu diputuskan selepas mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan dan UA.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) prihatin dengan maklum balas pelajar, ibu bapa dan pihak berkepentingan supaya yuran di UA dapat dikurangkan.

“Dalam hal ini, KPT membuat rundingan dan perbincangan bersama Kementerian Kewangan dan hasilnya, kerajaan bersetuju mengurangkan kadar yuran asrama, perkhidmatan dan aktiviti sehingga 15 peratus,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) sama ada kerajaan menyediakan inisiatif mengurangkan yuran pengajian pelajar UA yang terkesan akibat COVID-19. Noraini berkata, pengurangan yuran bagi semester dua Sesi Akademi 2019/2020 pelajar itu membabitkan peruntukan sebanyak RM72 juta.

“Daripada jumlah itu, sejumlah RM20 juta dipersetujui bersama Kementerian Kewangan dan baki RM52 juta menggunakan peruntukan dalaman UA menerusi penjimatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). “Seramai 523,318 pelajar UA di seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada keputusan ini,” katanya.

Pada 27 Mei lalu, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) dilaporkan meminta KPT mengkaji yuran pengajian semester IPT bagi penuntut yang terkesan akibat COVID-19. Menurut MPPK, ketika pelaksanaan PKP, hampir 80 peratus penuntut sudah kembali ke rumah masing-masing dan tidak menggunakan sepenuhnya kemudahan di universiti.

Susulan daripada itu, KPT menjalankan kajian bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan. – BH Online

Leave a Reply