Input your search keywords and press Enter.

Cegah Penularan COVID19 Di Sekolah – KP Kesihatan

M Update, 16/7/2020 – Wabak COVID-19 harus dicegah daripada menular di sekolah kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan lebih meluas dalam komuniti.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jika COVID-19 menular di dalam kawasan sekolah, ia akan menjangkiti rakan sebaya, guru dan seterusnya keluarga serta komuniti. Justeru, beliau berkata, pihak sekolah perlu mematuhi nasihat dan saranan kementerian untuk melindungi lebih ramai individu daripada dijangkiti wabak itu.

“Seperti sedia maklum, pelajar sekolah menengah dan murid Tahun Lima serta Enam sudah memulakan sesi persekolahan pada hari ini.

“Syabas diucapkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak pengurusan sekolah yang bertanggungjawab mengambil langkah tertentu bagi memastikan murid serta kakitangan sekolah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya penularan jangkitan COVID-19 di dalam sekolah.

“Pengurusan sekolah harus memastikan ada penjarakan sosial yang selamat, iaitu sekurang-kurang satu meter antara pelajar dan guru sama ada di dalam mahupun di luar kelas,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, antara saranan perlu dipatuhi pihak sekolah ialah mengurangkan bilangan pelajar dalam kelas supaya penjarakan sosial dapat diamalkan setiap masa.

“Pihak pengurusan sekolah juga dinasihat menjalankan pemeriksaan suhu dan gejala terhadap semua pelajar sebelum mereka masuk ke kawasan sekolah atau kelas. Jika ada murid dikesan tidak sihat, mereka perlu dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan. Pihak sekolah juga dikehendaki menyediakan kemudahan singki dengan air dan sabun atau cecair pembasmi kuman,” katanya.

Beliau berkata, etika batuk dan bersin juga perlu dipraktikkan di sekolah, selain pelajar dan guru sekolah sangat digalakkan memakai pelitup muka ketika sesi persekolahan. – BH Online