Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: 2,124 Tuntutan MySalam Diluluskan

M Update, 16/7/2020 – Sebanyak 2,124 tuntutan berjumlah lebih RM1 juta berkaitan COVID-19 diluluskan menerusi skim mySalam, setakat 5 Julai lalu.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata tuntutan itu disalurkan selepas kerajaan memperluaskan skim terbabit kepada kumpulan B40 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN).

“Manfaat hospitalisasi skim mySalam sudah diperluaskan kepada golongan B40 yang dijangkiti COVID-19 dan mereka yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI).

“Sehingga 5 Julai lalu, jumlah keseluruhan tuntutan diluluskan berkaitan COVID-19 adalah sebanyak 2,124 dengan jumlah yang sudah disalurkan sebanyak RM1,263,100,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Alice Lau Kiong Yeing (PH-Lanang) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah terkini penerima skim mySalam khususnya di Sarawak dan jumlah tuntutan berkaitan COVID-19.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, sebanyak 8,034 tuntutan mySalam dibuat sepanjang tahun lalu membabitkan nilai RM11,545,400.

“Tahun ini, setakat 5 Julai lalu, sebanyak 16,893 tuntutan diluluskan dengan jumlah yang disalurkan adalah sebanyak RM20,819,250. Bagi Sarawak pula, jumlah penerima skim mySalam yang diluluskan sehingga 30 Jun lalu adalah seramai 943 orang dengan jumlah sudah disalurkan sebanyak RM1,296,150,” katanya. – BH Online