Input your search keywords and press Enter.

KDN: Migran Miliki MyKad Palsu Kena Tindakan Ikut SOSMA

M Update, 20/7/2020 – Warga asing yang ditahan memiliki dokumen pengenalan diri, MyKad palsu, akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Tindakan itu diambil selepas kerajaan memastikan Akta Imigresen, turut dimasukkan di bawah jadual SOSMA. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata tindakan itu boleh dilakukan dengan menggunakan Jadual Pertama dalam SOSMA yang memberi kuasa kepada menteri.

Katanya, apabila Akta Imigresen itu dimasukkan dalam SOSMA kelak, tindakan mengikut peruntukan undang-undang itu boleh dikenakan terhadap mana-mana migran yang memiliki dokumen pengenalan diri Malaysia yang palsu. Ketika ini, mana-mana warga asing yang ditangkap memiliki MyKad hanya dikenakan tindakan pengusiran.

“Mana-mana pihak yang didapati bekerjasama mengeluarkan kad pengenalan palsu akan dikenakan tindakan bawah SOSMA.

“Kepada migran, selalunya kita ambil tindakan mengikut Akta Imigresen tetapi saya sebagai menteri ingin melihat Akta Imigresen dimasukkan bawah jadual SOSMA supaya migran yang ditangkap membeli kad pengenalan palsu, dikenakan tindakan mengikut SOSMA.

“Ini akan dipertingkatkan bukan saja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada migran yang bekerjasama dengan mereka,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, hari ini.

Hamzah berkata, sejak awal tahun sehingga 17 Julai lalu, sebanyak 37 operasi sudah dijalankan JPN dengan 35 warga asing ditahan kerana menggunakan MyKad palsu. – BH Online