Input your search keywords and press Enter.

Ingkar SOP: PDRM Kompaun RM1,000, Tiada Lagi Amaran

M Update, 22/7/2020 – Mulai hari ini, polis kita tidak akan memberi nasihat atau amaran lagi kepada orang ramai atau pemilik premis yang mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 seperti ditetapkan kerajaan.

Serentak itu, mereka yang didapati tidak mematuhi SOP atau mengabaikan langkah pencegahan yang digariskan kerajaan akan dikompaun RM1,000.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata keputusan tegas itu terpaksa dilaksanakan berikutan masyarakat mulai mengabaikan pematuhai SOP ditetapkan.

“Kita resah apabila melihat ramai yang tidak mematuhi kepada SOP dan ini dikhuatiri akan menyebabkan peningkatan dalam kes COVID-19.

“Mulai hari ini, kita tidak akan memberi nasihat atau amaran lagi sebaliknya tindakan undang-undang atau kompaun sebanyak RM1,000 dilaksanakan,” katanya pada sidang media di Sekolah Latihan Asas Kepolisan Kuala Muda, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam menyuarakan kebimbangan berikutan kes harian COVID-19 terus meningkat terutama membabitkan kes penularan dalam negara.Beliau berkata, kes aktif kini kembali melebihi 100 kes sejak 19 Julai lalu dan kini ia mencecah 130 kes manakala sehingga semalam, jumlah kluster yang aktif adalah 19 membabitkan 13 kluster baharu dalam 10 hari ini.

Zainal Abidin berkata, pemantauan polis di beberapa lokasi antaranya premis makanan, perniagaan, masjid dan rumah ibadat, stesen pengangkutan awam, majlis keraian, tempat riadah dan pusat tumpuan lain mendapati orang ramai mulai mengabaikan aspek penjarakan sosial. Katanya, antara aspek pelanggaran SOP yang dikesan ialah tiada laluan keluar masuk yang ditetapkan pada premis tertentu, tiada kod QR atau mengambil butiran pelanggan seperti pemeriksaan suhu badan, nama dan nombor telefon.

Beliau berkata, orang ramai juga dikesan tidak mengamalkan penjarakan sosial terutama di tempat awam selain ibu bapa tidak mengawal pergerakan anak-anak mereka daripada bercampur dengan individu yang lain.

“Polis akan terus meningkatkan pemantauan bagi memastikan semua sektor perniagaan yang beroperasi serta setiap individu mengikut SOP ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mengesan pelanggaran SOP ditetapkan di tempat awam.

“Jika anda mendapati ada yang tidak mematuhi SOP seperti pematuhan penjarakan sosial, kedai makan yang tidak menyediakan pramusaji dan sebagainya, tolong maklum kepada pihak berkuasa supaya kita mudah ambil tindakan,” katanya. – BH Online