Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Antara Negara Cemerlang Laksana Pakej Ekonomi – Tengku Zafrul

M Update, 22/7/2020 – Malaysia diiktiraf sebagai salah sebuah negara yang melaksanakan pakej sokongan ekonomi yang luar biasa selain daripada Thailand, menurut laporan Global Economic Prospects June 2020 oleh Kumpulan Bank Dunia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata memetik laporan itu, kedua-dua Malaysia dan Thailand telah melaksanakan pakej sokongan ekonomi luar biasa yang menyamai masing-masing sekitar 17 dan 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Katanya, pakej sokongan yang dilaksanakan itu memfokuskan kepada kesejahteraan dan kesihatan awam, penyediaan penjagaan, jaminan pinjaman, dan insentif perniagaan.

“Berdasarkan pencapaian setakat ini, respons melalui inisiatif PRIHATIN dan PENJANA terhadap krisis ini adalah tepat dan bersesuaian. Perkembangan positif ini juga disokong oleh kerancakan aktiviti ekonomi dan perkhidmatan yang beransur pulih dan meningkat dalam bulan-bulan yang akan datang.

“Salah satu bukti pemulihan ekonomi ialah laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bagi jualan perdagangan borong dan runcit bagi bulan Mei 2020, di tahap RM84.4 bilion.

“Ini adalah peningkatan sebanyak RM17.5 bilion atau 26.3 peratus berbanding April 2020,” katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-14 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, kerajaan juga sudah menjangkakan bahawa kadar pengangguran akan naik iaitu 5.3 peratus bagi Mei 2020 berbanding 5.0 peratus pada April lalu.

“Tetapi apa yang lebih penting adalah sama ada langkah-langkah pembukaan ekonomi dan pengekalan pekerjaan mempunyai impak positif ke atas kadar pekerja yang kembali bekerja. Ini terbukti melalui data DOSM yang menunjukkan bahawa sehingga 2 Jun 2020, lebih kurang 12.7 juta atau 83.5 peratus pekerja telah mula bekerja berbanding 10.2 juta atau 67.2 peratus pada 17 Mei lalu,” katanya.

Bagaimanapun Tengku Zafrul berkata, adalah penting untuk kita menyedari bahawa negara masih belum bebas daripada kesukaran ini dan harus bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan yang keadaan akan bertambah buruk sebelum menjadi lebih baik.

Ini kerana katanya, sebagai ekonomi terbuka, pemulihan ekonomi negara juga adalah bergantung kepada seberapa baik pemulihan ekonomi global.

“Akan tetapi, kita boleh mengawal apa yang berlaku di dalam negara dan terhadap diri sendiri. Salah satu usaha yang dapat dilakukan adalah mencari pertolongan awal untuk membayar obligasi kewangan kita, sekiranya kita merasakan mungkin memerlukan lebih banyak masa untuk menyusun kembali kewangan untuk berada pada tahap yang lebih kukuh.

“Bantuan boleh didapati dari institusi kewangan, atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk individu; Skim Penyelesaian Hutang Kecil (SDRS) untuk PKS dan Jawatankuasa Penyusunan Semula Hutang Korporat (CDRC) untuk syarikat yang lebih besar.

“Orang ramai sekali lagi diingatkan bahawa kes aktif dan kes baharu wabak pandemik walaupun rendah, tetapi masih wujud di dalam negara. Justeru, rakyat diminta untuk terus kekal patuh dengan arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha menyekat penularan kedua wabak COVID-19,” katanya. – BH Online