Input your search keywords and press Enter.

Lelaki ‘Wristband’ Kena Kompaun Ingkar SOP

M Update, 24/7/2020 – Lelaki berusia 51 tahun dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan kuarantin di rumah dan berkeliaran di kedai makan di Kampung Jering, Ayer Tawar dekat Manjung, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, lelaki terbabit didapati memakai gelang tangan merah jambu di bawah perintah kuarantin Covid-19.

“Lelaki itu dikesan sedang berkeliaran di kedai makan dan pemeriksaan pada gelang dipakainya mendapati kuarantin bermula pada 18 Julai lalu hingga 1 Ogos ini.

“Justeru, dia didapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya memaklumkan kepada polis sekiranya ada individu yang memakai gelang merah jambu berada di tempat awam.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang memakai gelang berkenaan sekiranya mendapati mereka melanggar perintah kuarantin di rumah,” katanya.

Sumber : HM Online