Input your search keywords and press Enter.

AKTOR DI SEBALIK INSIDEN KIDNAPPING FOR RANSOM (KFR) DI PANTAI TIMUR SABAH (ESSZONE)

OLEH ABDUL RASHID ABDUL HAMID

Dalam rencana pada kali ini, penulis akan menghuraikan dengan lebih terpeinci mengenai Kumpulan Abu Sayyaf (KAS) atau Abu Sayyaf Group (ASG) ini. Melalui kajian-kajian yang lepas, kumpulan yang begitu digeruni ini diasaskan oleh Aburajak Abubakar Janjalani yang telah dilahirkan di Tabuk Barrio bandar Isabela, Pulau Basilan Selatan Filipina pada tahun 1959. Beliau adalah hasil perkongsian hidup Abubakar Janjalani seorang muslim dan Vilma Montano seorang penganut Kristian. Beliau bersama lima beradik membesar di Pulau Basilan di Selatan Filipina dan mendapat Pendidikan tinggi di Timur Tengah daripada Al Islamic Tabligh, sebuah yayasan Pendidikan yang dibiayai oleh Arab Saudi dan Pakistan. Bantuan kewangan yang diberikan membuka peluang kepada Abdurajak Abubakar Janjalani untuk melanjutkan pelajaran ke Arab Saudi dan Libya pada tahun 1981.

Pada masa yang sama beliau telah menjelajah ke negara-negara Islam yang lain khususnya Afghanistan dan menerima latihan dan pendidikan dalam pemikiran islam radikal sekali gus membentuk pemikiran beliau di dalam fahaman islam radikal. Ketika berada di Arab Saudi, beliau mempelajari falsafah dan undang-undang islam yang mendorong beliau untuk mengangkat konsep “jihad” dalam perjuangan beliau. Setelah kembali ke Basilan pada 1984, beliau aktif dalam berdakwah dan mengajar di masjid-masjid. Namun, ia terhenti apabila beliau sekali lagi berhijrah ke Pashawar, Pakistan pada tahun 1988 bagi mempelajari revolusi negara Iran. Ia kemudiannya menjadi titik tolak permulaan persahabatan beliau bersama Osama bin Laden dan beberapa lagi pemimpin radikal islam yang dikaitkan dengan rangkaian Al-Qaeda. Dalam tempoh tersebut, beliau bersama-sama pemimpin Islam yang lain berjuang menentang Soviet semasa peperangan di Afghanistan.

Aburajak yang kembali ke Filipina pada tahun 1989 selepas perang di Afghanistan telah menubuhkan sebuah kumpulan pejuang revolusi di Selatan Filipina dengan menjadikan Iran sebagai model sebagai bentuk perjuangannya. Kumpulan tersebut dikenali sebagai kumpulan Muhajideen Commando Freedom Fighters (MCFF) dan ia juga turut dikenali sebagai “Janjalani Group” di Mindanao. Pengikut beliau kebanyakkan direkrut daripada ahli-ahli Moro National Liberation Front (MNLF) yang tidak sehaluan dengan pemimpin MILF yang diterajui oleh Nur Misuari. Aburajak telah melantik beberapa orang pemimpin dari kalangan MCFF untuk membantu beliau merealisasikan agendanya seperti Wahab Akbar, Amilhussin Jumaani dan Abdul Samad.

Kelebihan yang ada pada Aburajak Abubakar Janjalani dari segi pendidikan dan berpengetahuan dalam pelbagai bidang seperti agama, sejarah, politik, ekonomi dan keadaan sosial masyarakat pada ketika itu membolehkan beliau untuk membawa keluar MCFF daripada MNLF pada tahun 1991 dan membawa bersama agenda yang diperjuangkan dengan nama kumpulan yang baru iaitu Kumpulan Abu Sayyaf. Aburajak memilih nama Abu Sayyaf sebagai nama kumpulan bagi menghormati guru beliau di Afghanistan iaitu Abdur Rab Rasul Sayyaf. Agenda beliau untuk menubuhkan sebuah wilayah autonomi Islam khususnya di Selatan Filipina berjaya mempengaruhi penduduk setempat untuk menyokong perjuangan beliau. Matlamat akhir Aburajak melalui penubuhan Kumpulan Abu Sayyaf ini adalah untuk mewujudkan negara Islam yang terpisah daripada Filipina.

KAS ini telah menubuhkan markas yang pertama di wilayah Isabela, Basilan dan dikenali sebagai Camp Al Madinah Mujahideen. Melalui kepimpinan beliau, KAS kemudiannya berkembang ke wilayah lain khususnya di Jolo dan Tawi-Tawi. Di peringkat awal penubuhan KAS mempunyai 1000 keahlian dan angka ini meningkat dari semasa ke semasa sehingga mencecah 1300 orang pada tahun 1998.

Pada peringkat awal penubuhan KAS, matlamat mempunyai matlamat yang jelas iaitu untuk mewujudkan kumpulan Muhajideen yang berjuang untuk ALLAH dan Abubakar sendiri telah menggariskan Four Basic Truth yang menjadi tujuan serta asas idelogi kumpulan tersebut. Pertama, matlamat KAS untuk mengajar amalan Islam dan menjadi penghubung kepada kedua-dua kumpulan pejuang utama iaitu MNLF dan MILF. Kedua adalah untuk mewujudkan sebuah negara Islam yang digambarkan sebagai nature, meaning, emblem and objective. Ketiga adalah mengangkat fahaman realism apabila menjadikan advokasi perang sebagai satu keperluan selagi penindasan, ketidakadilan dan penindasan ke atas umat islam dan yang keempat adalah peperangan merupakan cara untuk mencapai matlamat sebenar objektif kemanusiaan dalam usaha membentuk keadilan dan kewajaran berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Perjuangan Abubakar untuk menerapkan gaya hidup Islam dalam kehidupan seharian juga telah dinyatakan oleh beliau melalui syarahan bertajuk “Khutbahs” pada tahun 1998. Antara intipati dalam syarahan tersebut adalah dakwaan bahawa kebanyakkan penduduk islam pada hari itu telah salah menginterpetasikan konsep jihad akibat tidak menguasai Islam secara mendalam. Ini termasuklah orang islam yang tidak mempraktikkan cara hidup Islam yang sebenar termasuklah perjuangan mati syahid sebagai perjuangan akhir.

Syarahan Khutbahs oleh Aburajak Abubakar Janjalani merupakan amanat terakhir beliau sebelum meninggal dunia pada tahun 1998 dan perjuangan beliau diteruskan oleh adik beliau iaitu Khadaffy Janjalani. Karekter Khadaffy yang lemah menjadikan KAS berpecah kepada tiga bahagian iaitu di Basilan, Jolo dan Tawi-Tawi. Bagi menonjolkan imej KAS Khadaffy Janjalani yang mengetuai bahagian atau kubu Basilan telah melalukan serangan berskala besar untuk menarik perhatian dunia. Antara serangan yang dilakukan adalah seperti penculikan 3 warganegara Amerika dan 17 warga tempatan di Palawan, Filipina pada tahun 2001. Khadaffy juga turut bertanggungjawab terhadap pengeboman Superferry 14 di Teluk Manila yang mengorbankan 116 orang pada tahun 2004.

Justeru, KAS dibentuk dengan satu matlamat yang berlandaskan ajaran Islam radikal untuk mendapatkan kebebasan bagi membentuk sebuah negara Islam dan keluar daripada penguasaan kerajaan pusat Filipina. Walau bagaimanapun, perjuangan mendapatkan kebebasan ini tidak dilakukan melalui rundingan secara aman sebaliknya KAS memilih taktik kekerasan. Ini menjadikan matlamat sebenar KAS tidak lagi berlandaskan perjuangan spiritual sebaliknya menjadi simbol kepada keganasan bersenjata yang kompleks di wilayah selatan Filipina. Kematian Aburajak Abubakar Janjalani dilihat menjadi turning point KAS menjadi sebuah kumpulan yang bersifat ekstremis dan dilabelkan sebagai kumpulan penjenayah oleh masyarakat dunia.

Kesimpulannya, KAS kini menjadikan Sabah sebagai kawasan untuk KFR pada tahun 2000 dan semakin aktif merancang untuk melakukan penculikan. KAS atau ASG ini diramal akan tetap meneruskan aktiviti KFR sebagai menampung keperluan operasi mereka. Berikutnya, penulis akan menceritakan tentang Organisasi KAS, Motif dan Sasaran KFR, Trend dan Pola Penculikan serta Lokasi Aktiviti KFR.

Penulis adalah pelajar PhD di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan artikel ini adalah sebahagian daripada kajian untuk tesis penulis serta tidak semestinya mewakili pendirian M-Update.