Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Sedia Pertimbang Cadangan Wajibkan Latihan Kebakaran Di Sekolah Tahfiz

M Update, 7/8/2020 – Kerajaan mungkin mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pelaksanaan sesi latihan kebakaran di sekolah tahfiz berdaftar di negara ini, pada masa depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sesi latihan kebakaran itu dilihat penting dan sesuai dimulakan pada masa kini, sebagai persediaan untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku kepada pelajar tahfiz.

Beliau berkata, pentadbir sekolah tahfiz juga disarankan supaya bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, untuk mewujudkan inisiatif ‘sekolah angkat’ bagi mempertingkatkan ilmu kebombaan dan berkaitan pencegahan kebakaran.

“Sekurang-kurangnya, pelajar akan mendapat latihan asas, sekiranya berlaku kebakaran dan menggelakkan mereka daripada menjadi panik,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan ke Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat di sini, semalam.

Zulkifli turut menzahirkan rasa sedih dengan kejadian kebakaran di tingkat tiga asrama perempuan MITS Kuala Langat pada awal pagi Selasa, dan menyatakan Kerajaan Persekutuan akan membantu sedaya upaya bagi meringankan bebanan pentadbir sekolah berkenaan.

Dalam kejadian pada Selasa lepas, seramai 131 pelajar perempuan MITS Kuala Langat terselamat selepas asrama mereka di tingkat tiga musnah dijilat api. – BERNAMA