Input your search keywords and press Enter.

Jadikan Kluster Sivagangga Sebagai Pengajaran – KKM

M Update, 10/8/2020 – Bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak selepas meletusnya kluster Sivagangga yang kini dianggap ‘super spreader’ kerana kadar kebolehjangkitan tinggi.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan hari ini menjelaskan, kes itu sepatutnya dijadikan panduan untuk masyarakat mematuhi setiap arahan kerajaan khasnya nasihat KKM. Katanya, sikap alpa boleh memberi kesan bukan saja kepada diri sendiri dan keluarga, malah masyarakat serta negara keseluruhannya.

“Langkah pencegahan mesti dilakukan setiap masa kerana amalan kesihatan awam ini paling berkesan mengelak jangkitan sebelum vaksin dihasilkan.

“Pakai pelitup muka sebaik keluar rumah untuk membiasakan diri dengan budaya norma baharu untuk melindungi diri,” katanya.

Sehingga semalam, kluster itu menjangkiti 45 orang membabitkan tiga generasi dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sekali gus, kluster paling mendapat perhatian masyarakat.

“(Bermula dengan) kes indeks kluster ingkar arahan HSO (Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah) dan menyebarkan jangkitan kepada pekerjanya di kedai makan di Napoh, Kedah serta pelanggan dan seterusnya merebak ahli keluarga dan saudara mara terdekat.

“Akibat kluster ini, empat mukim di Kubang Pasu dan dua kampung di Perlis dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) dan beberapa sekolah terpaksa ditutup,” katanya.

Untuk makluman, Sivagangga adalah satu daripada sembilan daerah di selatan India yang merekodkan jumlah pesakit Covid-19 paling rendah. – HM Online