Input your search keywords and press Enter.

Jalani Saringan Jika Kunjungi 2 Lokasi Di Kuala Sanglang

M Update, 10/8/2020 – Polis mengarahkan penduduk dan orang awam yang pernah mengunjungi Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul, dekat sini, bermula 28 Julai lalu untuk menjalani saringan COVID-19.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, berkata ini bagi membolehkan kontak rapat dan penularan wabak melalui kluster PUI Sivagangga di dua lokasi di Kuala Sanglang itu dihentikan secepat mungkin.

Menurutnya, orang awam perlu menitikberatkan perkara berkenaan dan sekiranya didapati tidak hadir menjalani saringan, pihak keselamatan akan pergi ke kediaman mereka.

“Senarai penduduk yang tinggal di sekitar dua kawasan di Kuala Sanglang itu sudah ada, jika mereka sudah keluar sebelum penularan berlaku itu tidak apa.

“Tetapi jika pada 28 Julai mereka berada di kawasan terbabit atau mempunyai kontak rapat, jadi mereka kena hadir buat saringan,” katanya pada sidang media dalam lawatannya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

Mengulas mengenai penutupan jalan ke Kuala Sanglang, Surina berkata pihaknya turut akan menumpukan perhatian dan pengawalan di jalan tikus bagi mengekang penularan wabak.

“Jalan-jalan ini termasuklah jalan bendang yang menghubungkan antara negeri ini dengan Kedah di Kuala Sanglang juga akan ditutup. Jadi kita minta penduduk untuk terus mematuhi arahan daripada pihak keselamatan bagi memastikan penularan wabak dapat dihentikan,” katanya.

Sehingga kini tiga jalan sudah ditutup dengan sekatan jalan raya membabitkan kira-kira 60 anggota keselamatan ditugaskan bagi mengawal laluan keluar masuk orang awam ke Kuala Sanglang.

TEMCO yang dilaksanakan di Kuala Sanglang bermula jam 10 malam tadi dengan dua penempatan diarahkan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari iaitu di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul. – BH Online