Input your search keywords and press Enter.

Penjawat Awam Diminta Kibar Jalur Gemilang – KPPA

M Update, 13/8/2020 – Penjawat awam di seluruh negara diminta meneruskan amalan mengibarkan Jalur Gemilang di bangunan, kenderaan dan kediaman sebagai solidariti mempertahankan kemerdekaan negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata amalan itu sekian lama diyakini mampu membangkitkan rasa cinta kepada negara dalam kalangan rakyat.

“Penjawat awam perlu mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan masing-masing, malah amalan sama perlukan dilakukan pada bangunan dan kenderaan rasmi jabatan.

“Ke mana kita bergerak, kita membawa semangat bulan kemerdekaan dan masuk ke kawasan bangunan kerajaan dan kediaman penjawat awam pula nampak Jalur Gemilang dikibar menunjukkan solidariti mempertahankan kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Bersama Penjawat Awam di sini, hari ini. Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Suriani Ahmad.

Mohd Khairul berkata, kibaran Jalur Gemilang di tepi jalan, kenderaan dan kediaman mampu menjadikan semangat patriotik sentiasa mekar dalam hati rakyat. Sambutan Hari Kebangsaan akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 31 Ogos ini, manakala sambutan Hari Malaysia berlangsung di Sibu, Sarawak pada 16 September. – BH Online