Input your search keywords and press Enter.

Belum Sedia Buka Pintu Sempadan – Ismail Sabri

M Update, 14/8/2020 – Kerajaan masih belum bersedia membuka pintu sempadan negara berikutan kes pandemik COVID-19 masih belum reda di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata buat masa ini kerajaan masih kekal dengan keputusan tidak membenarkan warga asing masuk ke negara ini kecuali kategori tertentu.

“Kita kena lihat negara tertentu yang nak datang (Malaysia), kalau negara (mereka) berisiko tinggi tentu sahaja kita tak benarkan, selain melihat keadaan di negara (Malaysia) sendiri, kalau tiada isu lagi mungkin boleh longgarkan.

“Tetapi setakat ini di negara luar pun serius malah negara kita pun masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jadi kita kekalkan tutup pintu sempadan negara,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan Malaysia mempunyai tempoh tertentu untuk menutup pintu sempadan seperti keputusan Thailand tidak akan membuka pintu sempadan sehingga tahun depan. Ismail Sabri menjelaskan, tiada sebarang perbincangan dilakukan kerajaan mengenai perkara itu.

“Kita tidak menetapkan bila tarikh nak buka (pintu sempadan), kita akan tengok dari segi kes yang berlaku di negara ini dan kes di negara lain.

“Kalau seluruh dunia (diisytiharkan) hijau mungkin kita boleh buka, tetapi tak ada tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Sumber: BH Online