Input your search keywords and press Enter.

Penjawat Awam, Ahli Perniagaan Dikecualikan Kuarantin Sehingga 31 Ogos – Sarawak

M Update, 14/82020 – Penjawat awam dan ahli perniagaan yang masuk ke negeri Sarawak dikecualikan daripada kuarantin berkuat kuasa serta-merta sehingga 31 Ogos ini, demikian menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS), hari ini.

Dalam mengumumkan keputusan itu, JPBNS berkata penjawat awam dan ahli perniagaan yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hanya perlu menunjukkan Kod QR pengecualian atau surat arahan rasmi bertugas semasa ketibaan.

Selain itu, JPBNS berkata mereka juga diwajibkan mengisi borang akuan pengisytiharan kesihatan secara elektronik (e-HRD) dan menjalani ujian calitan serta tidak diwajibkan memakai gelang kuarantin dan tidak akan dikuarantin.

“Bagi penjawat awam dan ahli perniagaan yang kerap berulang alik dari Semenanjung, Sabah, Labuan ke Sarawak dan sebaliknya, mereka akan diambil sampel sekali dalam dua minggu. Bagaimanapun, bagi urusan rasmi yang tidak melebihi dua hari tidak perlu diambil sampel,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan di sini.

Sementara bagi penjawat awam dan ahli perniagaan yang balik bercuti, mereka akan dikuarantin di rumah atau hotel dan perlu diambil sampel.

Dalam pada itu, pengecualian sama diberikan kepada penjawat awam dan ahli perniagaan yang masuk melalui Lapangan Terbang Sibu, Bintulu dan Miri tetapi perlu mengambil sampel COVID-19 di klinik kesihatan berhampiran pada keesokan harinya.

“Bagaimanapun, mereka tidak perlu mengambil sampel jika urusan rasmi tidak melebihi dua hari,” menurut kenyataan itu.

Semalam, JPBNS mengumumkan semua daerah di negeri itu sebagai zon hijau COVID-19 selepas tiada kes jangkitan tempatan terbaru dilaporkan dalam tempoh 14 hari. – BERNAMA