Input your search keywords and press Enter.

Maklumat Dalam MySejahtera Dilindungi Undang-Undang – KDN

M Update, 17/8/2020 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan tidak akan berlaku pencerobohan atau ketirisan maklumat peribadi yang direkod menggunakan aplikasi MySejahtera.

Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, berkata pada masa sama pihak berkuasa juga akan memastikan maklumat yang direkodkan secara manual ketika memasuki sesuatu premis mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata tindakan akan diambil terhadap individu atau pihak yang menceroboh, menyebar dan menyalahgunakan maklumat peribadi yang direkodkan melalui kedua-dua kaedah itu.

“Kita memberi jaminan bahawa aplikasi MySejahtera ini kita lindungi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Kita tidak sewenang-wenangnya untuk mendedahkan maklumat yang berada di bawah rekod MySejahtera yang digunakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan.

“Bagi maklumat peribadi yang ditulis secara manual juga kita akan ambil tindakan jika berlaku pencerobohan data peribadi,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang mahu KDN menyatakan sejauh manakah maklumat peribadi yang direkod menggunakan aplikasi MySejahtera dan secara manual dilindungi. – BH Online