Input your search keywords and press Enter.

Pelitup Muka: Orang Ramai Boleh Rayu Kompaun – Ismail Sabri

M Update, 17/8/2020 – Mereka yang dikenakan kompaun RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka masih boleh merayu pengurangan denda tersebut, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari semalam.

Justeru itu katanya tiada keperluan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan mengurangkan jumlah kompaun yang dikenakan. 

”Kita kenakan RM1,000 tetapi mereka boleh merayu, kalau dikurangkan maka Kementerian Kesihatan yang mengeluarkan kompaun boleh memberi pengurangan. Jadi, saya rasa tidak perlu pinda akta tersebut kerana nak meminda akta memerlukan masa. 

“… sedangkan kes sedang berlaku dan tindakan perlu dilakukan sekarang,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak mural kemerdekaan dan pasar pagi Slim River, di sini. 

Beliau juga berkata jika perlu dilakukan pindaan terhadap akta itu, usul akan dibawa ke Parlimen pada sesi akan datang. Beliau mengulas gesaan Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii Lee Wuen supaya  kerajaan  mengkaji semula kadar denda RM1,000 yang dikenakan terhadap mereka yang tidak memakai pelitup muka kerana jumlah itu dilihat membebankan orang ramai, khususnya golongan B40 dan pelajar. – BERNAMA