Input your search keywords and press Enter.

Kerajaan Pertimbang MySejahtera Jadi Aplikasi Mandatori

M Update, 18/8/2020 – Aplikasi MySejahtera terbukti membantu kerajaan untuk mengesan pesakit Covid-19 dan kontak rapat bagi menghalang penularan wabak daripada menjadi lebih serius.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Md Yusof berkata, sehingga 16 Ogos lalu, seramai 15.1 juta pengguna sudah berdaftar dengan aplikasi MySejahtera dan 322 pesakit dikesan melaluinya. Katanya, aplikasi itu juga berjaya mengesan kontak rapat ke atas pesakit berkenaan.

“Pencarian menerusi aplikasi MySejahtera mempercepatkan usaha mengesan kontak rapat pesakit dan kerajaan berharap penggunaannya akan diperluaskan pada masa akan datang,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Redzuan (Bersatu-Alor Gajah) berkata demikian menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) yang mahu tahu jumlah pengguna aplikasi MySejahtera dan setakat mana aplikasi itu membantu untuk mengawal pandemik Covid-19. Dalam soalan tambahannya, Dr Lee juga bertanya kekangan yang dihadapi kerajaan dalam penggunaan aplikasi terbabit kerana masih ada premis yang merekod data pelanggan secara manual.

Menjawab itu, Mohd Redzuan berkata, kerajaan sedang berbincang bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Pejabat Peguam Negara untuk mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera di premis, menggantikan rekod kehadiran manual.

“Kita sedang membangunkan budaya baharu ini dan kerajaan akan membawa pelbagai kaedah untuk memudahkan kerjasama bagi menghalang penularan Covid-19,” katanya.

Beliau memberitahu orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kebocoran data dalam aplikasi MySejahtera kerana ia dilindungi Akta Perlindungan Data 2010. – HM Online