Input your search keywords and press Enter.

Sukuk Prihatin Bukti Kesungguhan Kerajaan Tangani Impak COVID-19

M Update, 18/8/2020 – Sukuk Prihatin berjumlah RM500 juta adalah bukti kesungguhan kerajaan melaksanakan langkah-langkah tegas menangani impak pandemik COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata sehingga kini kerajaan sudah menyalurkan sebanyak RM295 bilion melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Beliau berkata, inisiatif Sukuk Prihatin ini membuka peluang langganan kepada orang awam dan korporat, yang kemudiannya akan disalurkan kepada Kumpulan Wang COVID-19.

“Dana Sukuk Prihatin akan diberikan kepada kumpulan yang terkesan daripada COVID-19. Antaranya adalah menambah baik infrastruktur internet di sekolah yang tidak mempunyai perkhidmatan yang bagus. Selain itu memberi sokongan kepada PKS dan Mikro, terutama usahawan wanita yang terjejas akibat COVID-19.

“Sebahagian daripada dana Sukuk Prihatin ini akan digunakan untuk sektor kesihatan seperti kajian dalam sesuatu penyakit atau wabak berjangkit,” katanya berucap pada majlis perasmian Sukuk Prihatin di sini, hari ini.

Majlis perasmian Sukuk Prihatin itu disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Yang di-Pertuan Agong juga menjadi pelabur pertama terbitan Sukuk Prihatin itu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan juga berjanji akan memastikan dana daripada terbitan sukuk akan digunakan sebaik mungkin dan tidak ada golongan yang ketinggalan dalam menerima manfaat itu.

Kerajaan, katanya, komited dalam mengstruktur semula ekonomi, memberi pembangunan untuk semua serta menangani jurang pendapatan. – BH Online