Input your search keywords and press Enter.

KKM Syor PKPP Dilanjutkan – Adham Baba

M Update, 24/8/2020 – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesyorkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang tamat 31 Ogos ini dilanjutkan sehingga keadaan terkawal.

Cadangan itu sudah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Menteri, Datuk Sri Dr Adham Baba, berkata ini kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan COVID-19 akan berlangsung tidak kurang dua tahun, selain negara perlu membuat persiapan bagi menghadapinya.

“Dua tahun adalah masa yang lama. PM (Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun ada melancarkan kebudayaan norma baharu, rakyat perlu sama-sama tangani penularan COVID-19. KKM sudah membuat saranan kepada MKN dan PM untuk mempertimbangkan pelaksanaan PKPP sehingga keadaan lebih terkawal.

“Jadi terpulang kepada PM untuk mengumumkannya dalam masa terdekat, dan kita lihat negara lain masih bergelut dengan peningkatan kes, kes import di negara tertentu bertambah.

“Di negara kita, kita masih memperkukuh dan mengawal pintu masuk sempadan dengan baik,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Prihatin Negara Selamat di Dewan Raya FELDA Bukit Besar, semalam. Yang turut hadir, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Mengulas isu denda RM1,000 yang dikenakan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sehingga mendapat kritikan pelbagai pihak, Dr Adham berkata ia bergantung keputusan ditetapkan pihak berkuasa.

“Yang itu (denda RM1,000) sudah diselesaikan. Datuk DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dah komen dalam Twitter. Kita tengok pelbagai sudut. Untuk kompaun, maksimum RM1,000, kalau ada (pihak berkuasa) nak dakwa lain itu terpulang,” katanya.

Sebelum ini, KKM dalam kenyataannya, berkata Mohd Khairuddin melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 [Akta342]. Ia memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BH Online