Input your search keywords and press Enter.

Tidak Wujud Diskriminasi Kaum Dalam Pemberian Taraf Kewarganegaraan

M Update, 25/8/2020 – Kerajaan menjelaskan tidak wujud diskriminasi terhadap mana-mana kaum berhubung pemberian taraf kewarganegaraan kepada penduduk di Malaysia.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, soal kewarganegaraan dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang selain penyediaan dokumen permohonan lengkap.

“Kerajaan tidak pernah melakukan diskriminasi kaum berdasarkan warna kulit.

“Bagi mereka yang mengambil anak angkat, mereka perlu melalui proses mahkamah dan kita ada syarat tertentu. Untuk senarai anak angkat mengikut kaum saya akan beri perincian menerusi jawapan bertulis,” katanya pada Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan daripada Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang meminta penjelasan daripada kerajaan berkaitan jumlah anak angkat yang telah ditarik kerakyatan mengikut kaum dan menjawab dakwaan individu yang menjadi mangsa diskriminasi semasa proses membuat kad pengenalan dengan melihat kepada warna kulit.

Mengulas lanjut Ismail berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi menyelesaikan masalah individu yang tidak mempunyai kewarganegaraan di negara ini.

“Kelahiran yang berlaku di Malaysia tidak menyebabkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik.

“Kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan kepada status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung sewaktu kelahiran berlaku selaras dengan peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen,” katanya.

Jelasnya, kementerian menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memastikan urusan pendaftaran dokumen pengenalan diri individu yang berkelayakan dapat dilaksanakan dengan mudah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman melalui inisiatif berterusan iaitu Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) merangkumi Program Pendaftaran Bergerak (Unit Mobile) dan Bas Mobile.

“Program Mekar menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah khidmat nasihat berkaitan pendaftaran Kad pengenalan, kelahiran, dan kematian.

“Selain daripada itu, JPN turut mengadakan taklimat mengenai kepentingan dokumen pengenalan diri dan kerjasama strategik secara berkala bersama jabatan pendidikan negeri, kerajaan negeri melalui ketua kaum dan ketua masyarakat bagi mengenal pasti serta mendaftarkan murid-murid sekolah serta penduduk yang masih belum memiliki dokumen pengenalan diri,” katanya.

Tambahnya, bagi individu warga asing, mereka boleh mengemukakan permohonan memperoleh kewarganegaraan Malaysia sama ada melalui pendaftaran atau penaturalisasian.

“Jika telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Selain daripada itu, pelbagai aspek turut diambil kira dalam pertimbangan sesuatu permohonan kewarganegaraan Malaysia termasuklah kebajikan pemohon tanpa mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan warganegara sedia ada.

“Sukacita diingatkan bahawa ibu bapa dan penjaga kepada individu yang bertaraf ‘Belum Ditentukan’ atau ‘Bukan Warganegara’ bertanggungjawab sepenuhnya untuk menguruskan kewarganegaraan, dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal bagi mengelakkan ketiadaan dokumen pengenalan diri, keberadaan tidak sah di Malaysia dan seterusnya disalah anggap sebagai tidak memiliki kewarganegaraan dari mana-mana negara (stateless),” katanya. – SH Online