Input your search keywords and press Enter.

COVID19: Kluster Sivagangga Boleh Jadi Iktibar

M Update, 2/9/2020 – Keputusan kerajaan menyekat kemasukan pemegang pas jangka panjang membabitkan warga asing dari Indonesia, India dan Filipina bermula Isnin ini mampu mengekang penularan kes import Covid-19 dalam negara.

Pakar Epidemiologi Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan berkata, tindakan segera itu penting kerana kebanyakan mereka yang dijangkiti Covid-19 tidak menunjukkan simptom awal dan berkemungkinan negatif pada awal saringan.

Menurutnya, kes membabitkan lelaki yang pulang dari Sivagangga, India boleh dijadikan contoh apabila dia didapati negatif ketika saringan dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun positif apabila menunjukkan simptom, beberapa hari kemudian.

“Apa yang dibimbangkan keadaan sedemikian akan menyebabkan kewujudan lebih banyak kluster baharu membabitkan kes import dan menyebabkan peningkatan kes tempatan.

“Kluster Sivagangga contoh yang paling jelas membabitkan kes import yang sekiranya tidak dikawal lebih awal berpotensi untuk mewujudkan kluster baharu yang meningkatkan penularan tempatan,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam dilapor berkata, sekatan itu bersifat sementara merangkumi penduduk tetap, pas Program Malaysia My Second Home (MM2H), ekspatriat semua kategori termasuk Professional Visit Pass (PLIK), pas residen, pasangan dan anak kepada warga Malaysia serta pelajar.

Dalam pada itu, Dr Mohd Rohaizat berkata, musim sejuk di luar negara dalam tempoh empat bulan akan datang berkemungkinan akan meningkatkan beban saringan yang perlu dilakukan petugas kesihatan khususnya di pintu masuk negara.

Menurutnya, mereka yang mempunyai Influenza Like Illness (ILI) seperti batuk, demam dan selesema akan meningkat dan simptom itu kini perlu dianggap sebagai Covid-19 sehingga saringan mengesahkan seseorang individu itu negatif wabak berkenaan.

“Musim sejuk menyebabkan simptom ILI dialami lebih ramai individu kerana ia simptom sama dialami pembawa Covid-19 dan mereka perlu disaring terlebih dulu sehingga ujian saringan dijalankan mengesahkan negatif.

“Secara tidak langsung ia akan membebankan petugas kesihatan kerana peningkatan ujian saringan lebih banyak akan dilakukan terhadap mereka yang memiliki ILI,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersiap siaga menghadapi kemungkinan pertambahan kes Covid-19 dari luar negara dalam tempoh empat bulan akan datang apabila musim sejuk melanda negara luar.

Katanya, berdasarkan pemantauan kes Covid-19 di India, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol dan Perancis sekarang menunjukkan peningkatan seiring penurunan suhu di semua negara itu. – HM Online