M Update, 3/9/2020 – Kerajaan masih menunggu keputusan fasa ujian ketiga oleh negara pengeluar vaksin COVID-19, sebelum mengambil keputusan untuk antivirus dari negara terbabit.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Malaysia belum membuat tempahan atau membeli vaksin itu dari mana-mana negara pengeluar. Beliau berkata, aspek utama yang akan diberi tumpuan sebelum memutuskan untuk membeli vaksin terbabit ialah memastikan ketulenannya.
“Ketika ini ada banyak negara pengeluar vaksin seperti China, India, Thailand dan United Kingdom (UK). Sebelum membuat pesanan atau pembelian, kita perlu melihat hasil ujian klinikal pertama, kedua dan ketiga.
“Kita menunggu keputusan ujian klinikal ketiga yang dijalankan negara (pengeluar) lain, seperti China yang kini melakukan ujian di beberapa negara. Berdasarkan perkembangan itu, kita belum membuat pembelian, malah tidak akan terburu-buru berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2020 di sini, hari ini.
Sebelum ini, seorang pakar dilaporkan berkata, Malaysia mungkin ketinggalan dalam pembelian vaksin kerana negara lain dikatakan berlumba-lumba menempah vaksin yang dihasilkan negara pengeluar. Dr Adham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan memutuskan pembelian vaksin berdasarkan keyakinan mereka terhadap antiviral yang dikeluarkan itu.
Katanya, kerajaan sentiasa berhubung dengan negara pengeluar bagi mengetahui perkembangan lanjut vaksin yang dihasilkan.