Input your search keywords and press Enter.

Hero MBJB Terima Penghargaan MB

M Update, 7/9/2020 – ‘Hero’ Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menerima pengiktirafan atas jasanya menahan seorang peragut dalam kejadian Selasa lalu.

Shazrin Hafeez Fadzlan, 26, bukan sahaja menerima sijil dan wang tunai berjumlah RM1,000 malah tawaran jawatan tetap sebagai Pembantu Kesihatan Awam MBJB. Lebih manis, sijil penghargaan itu diserahkan sendiri Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad semasa lawatan kerjanya ke MBJB semalam.

Shazrin Hafeez diangkat sebagai hero MBJB oleh masyarakat apabila videonya bergelut dengan seorang peragut di Taman Mount Austin, Selasa lalu tular dalam media sosial. Terlebih dahulu masyarakat berbilang kaum turut menyatakan penghargaan atas tindakan pantasnya itu dengan menyerbu gerai burger yang diusahakan di Taman Johor Jaya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan penjenayah terbabit yang menunggang sebuah motosikal meragut beg tangan seorang wanita berusia 30 tahun ketika mangsa sedang melintas jalan. Mangsa yang terkejut dan ketakutan menjerit meminta tolong sebelum disedari seorang penguat kuasa yang sedang bertugas berlari memberkas suspek dan dibantu orang awam. – UTUSAN ONLINE