Input your search keywords and press Enter.

Jangan Naik Harga Air Mineral! – KPDNHEP

M Update, 7/9/2020 – “Jangan sorok bekalan atau naikkan harga air mineral sesuka hati,” itu amaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) susulan masalah bekalan air yang melanda ibu kota sejak Khamis lalu.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, KPDNHEP WPKL mengambil maklum isu berkaitan bekalan air mineral dan air minuman di pasar raya serta kedai runcit sekitar Kuala Lumpur susulan masalah itu. Susulan itu, pemeriksaan segera di semua premis runcit dimulakan pihaknya sejak 4 September lalu bagi memastikan bekalan air mineral di pasaran sentiasa mencukupi.

“Kita memberi peringatan kepada mana-mana pihak baik individu mahupun syarikat supaya tidak sewenang-wenangnya mengaut keuntungan berlebihan dalam memanipulasi isu gangguan bekalan air ini.

“Jangan sesekali mengambil kesempatan dengan menaikkan harga air mineral dan air minuman. Tanda harga yang jelas mesti dipamerkan pada setiap barang jualan supaya tidak mengelirukan pengguna,” katanya tadi.

Jelas Ariffin, peniaga yang didapati cuba melakukan pencatutan boleh diambil tindakan mengikut kesalahan mengikut Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, mereka boleh didenda tidak lebih RM500,000 diikuti RM1 juta untuk kesalahan kali kedua atau yang berikutnya. Manakala untuk mereka yang bukan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya pula boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Ariffin berkata, aduan boleh disalurkan kepada KPDNHEP melalui beberapa kaedah antaranya menerusi emel ke e-aduan@kpdnhep.gov.my, talian 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU.

Aduan juga boleh disalur menerusi Enforcement Command Centre (ECC) di talian 03-88826245, Malaysia Government Call Centre (MYGCC) di talian 03-80008000, WhatsApp ke 019-2794317 atau hadir ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara. – HM Online