Input your search keywords and press Enter.

Awas Kumpulan Menyamar Pegawai KKM, Ambil Buku Saringan COVID19

M Update, 8/9/2020 – Sekumpulan individu dikesan menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan cuba memanipulasi maklumat peribadi orang awam menerusi buku daftar kesihatan diletakkan di beberapa premis perniagaan di Melaka.

Kumpulan baharu dikesan semalam itu dikatakan mengambil maklumat pelanggan daripada buku pendaftaran kesihatan Covid-19 yang diletakkan di premis makanan serta kedai nombor ramalan dan menggantikan dengan buku lain.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, kumpulan individu itu turut menyamar sebagai pegawai KKM untuk mengambil buku berkenaan daripada pemilik premis terbabit. Beliau berkata, tindakan kumpulan berkenaan yang memeriksa buku pendaftaran saringan Covid-19 di premis, menyalahi undang-undang kerana hanya pegawai KKM dan polis layak berbuat demikian.

“Mereka mengambil buku mempunyai puluhan atau ratusan nama serta nombor telefon pelanggan di premis itu dan menukarnya dengan buku lain yang mempunyai nama KKM dalam bahasa Inggeris serta logo Jata Negara.

“Difahamkan, mereka menggunakan kad kuasa palsu untuk menjalankan aktiviti berkenaan menyebabkan beberapa pemilik premis terpaksa merelakan perbuatan kumpulan itu mengambil buku rekod pendaftaran pelanggan mereka,” katanya pada sidang media di Wisma Persekutuan, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Rahmad berkata, pihaknya mengingatkan semua pemilik premis supaya tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat peribadi pelanggan kepada pihak lain tanpa merujuk terlebih dahulu dengan pihak berkuasa kesihatan di kawasan masing-masing. Katanya, tiada arahan setakat ini dikeluarkan kepada mana-mana anggota kesihatan negeri untuk berbuat demikian.

“Kami sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa itu untuk mengambil tindakan lanjut.

“Kami bimbang jika tiada tindakan diambil, orang ramai boleh menjadi mangsa penipuan ‘scam’ menerusi kegiatan kumpulan itu yang menggunakan nombor telefon,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan perkara itu masih dalam siasatan. – HM Online