Input your search keywords and press Enter.

Pencemaran Sungai Gong Menyusahkan Rakyat – Agong

M Update, 8/9/2020 – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan pencemaran Sungai Gong di Rawang sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan menyusahkan jutaan rakyat di Lembah Klang.

Titah baginda, kemudaratan daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja kepada kehidupan seharian, tetapi juga sosioekonomi rakyat kerana banyak perniagaan terpaksa ditutup.

“Al-Sultan Abdullah yang mengikuti perkembangan sejak hari pertama gangguan bekalan air tidak berjadual itu, turut prihatin terhadap keluh-kesah dan beban rakyat mengharungi situasi itu,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, semalam.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Istana Negara.

Baginda bertitah, kemudaratan daripada perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja kepada kehidupan seharian, tetapi juga sosioekonomi rakyat kerana banyak perniagaan terpaksa ditutup.

Al-Sultan Abdullah bertitah, pihak bertanggungjawab perlu dikenakan tindakan tegas dan hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada semua untuk memastikan kelestarian alam terpelihara, di samping mengelak pencemaran sungai yang memberi kesan kepada kehidupan dan kesejahteraan rakyat.

“Baginda yang mengikuti perkembangan sejak hari pertama gangguan bekalan air tidak berjadual ini amat prihatin terhadap keluh-kesah dan beban rakyat mengharungi situasi itu.

“Baginda juga menzahirkan simpati kepada rakyat yang terpaksa beratur menunggu giliran dan bertungkus-lumus mengambil air setiap kali gangguan bekalan berlaku,” kata kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian bagi menzahirkan dukacita dengan kes pencemaran Sungai Gong yang menyebabkan 1.2 juta akaun dan kira-kira lima juta pengguna di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Baginda turut menitahkan tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan kes pencemaran sungai seperti di Sungai Gong dapat dibendung, sekali gus tidak berulang pada masa depan.

Al-Sultan Abdullah meminta pihak berkuasa khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Alam Sekitar meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Seri Paduka turut bertitah supaya penjagaan alam sekitar diberi fokus oleh pihak berkuasa, khususnya dalam urus tadbir pengurusan sungai dan aktiviti kesedaran dalam kalangan rakyat.

“Pembentukan jati diri dan sayang kepada alam sekitar perlu didedahkan dengan memberi didikan awal kepada anak-anak dengan penganjuran aktiviti dan program amal pembersihan kawasan awam sebagai bentuk pengajaran,” kata kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan sokongan terhadap tindakan kerajaan Selangor yang mengarahkan pemilik premis yang dipercayai menjadi punca pencemaran air, merobohkan struktur bangunan itu. Baginda bertitah, tanah persendirian yang dibangunkan sebagai premis penyelenggaraan jentera berat itu didapati tidak mempunyai kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan.

“Baginda menzahirkan ucapan penghargaan kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan agensi kerajaan berkaitan atas tindakan segera yang diambil untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air kepada kawasan yang terjejas,” kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa mengenal pasti sebuah premis sebagai punca pencemaran sehingga menyebabkan empat Loji Rawatan Air di Sungai Selangor dihenti tugas sejak Khamis lalu.

Gangguan terbaharu bekalan air tidak berjadual itu bukan yang pertama diharungi rakyat di Selangor dan Kuala Lumpur, malah berlaku sembilan kali pada 2018 serta berulang sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini. – BH Online