Input your search keywords and press Enter.

Penduduk Di Kawasan Rendah Dinasihat Pindah

M Update, 14/9/2020 – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menasihatkan penduduk di dua kawasan rendah di daerah Kapit, wilayah tengah Sarawak untuk berpindah ke lokasi lebih tinggi berikutan paras air yang semakin meningkat ekoran hujan yang berterusan, sejak lewat malam tadi.

Menurut maklumat laporan dari Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri hari ini, paras air dilaporkan meningkat di Kampung Baru dan Rumah Panjang Philimon, Kapit sejak kira-kira pukul 10.00 malam tadi dan keadaan yang sama turut berlaku di kawasan Long Loyang dan Kampung Stapang, Marudi di Bahagian Miri di utara Sarawak.

“(JBPM telah mengeluarkan) nasihat untuk berpindah ke rumah saudara terdekat yang tidak dinaiki air memandangkan keadaan air yang semakin meningkat,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, Rumah Panjang Philimon yang terletak kira-kira 20km dari bandar Kapit mempunyai 126 orang penduduk, namun jumlah mangsa yang berpindah belum dapat dipastikan.

“Pada pukul 11.00 malam tadi di Kampung Baru (Kapit), pasukan Bomba telah membantu memindahkan seorang warga emas berumur 76 tahun dan anaknya berumur 41 tahun ke rumah saudara terdekat mereka,” menurut laporan itu.

Sumber : Bernama