Input your search keywords and press Enter.

Setiap Pejuang Pertaruh Nyawa Pertahan Kedaulatan Negara – Affendi

M Update, 17/9/2020 – Keamanan dan kesejahteraan dikecapi ketika ini tidak diperoleh dengan mudah, sebaliknya melalui pengorbanan pejuang yang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata sesungguhnya darah dan keringat perjuangan mereka yang terdahulu, telah menghasilkan keharmonian dan keamanan kepada negara sehingga kini.

Jelasnya, sebagai generasi pewaris ATM, warga tentera perlu tekad menaburkan bakti dengan sepenuh jiwa, dalam memikul amanah agar ATM terus utuh sebagai barisan hadapan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia pula adalah penting untuk setiap rakyat di negara bertuah ini memperkuatkan semangat patriotisme dan nasionalisme, dengan menanamkan budaya ‘sense of belonging’ dan ‘sense of ownership’ dalam sanubari saudara saudari sekalian.

“Pengukuhan semangat dan budaya ini, kesatuan antara rakyat dan ATM akan dapat terbentuk sekali gus berupaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari ATM ke-87 dan Hari Malaysia yang disambut hari ini.

Dalam pada itu, Affendi turut mengingatkan warga tentera bahawa pembangunan ATM, bukan bertujuan menjadi satu ketumbukan yang inginkan peperangan atau menyerang negara lain, sebaliknya ia satu angkatan yang dipertanggungjawabkan menjaga keamanan dan kedaulatan negara, daripada ancaman musuh.

“Pembangunan ini penting, terutamanya dalam mendepani persekitaran keselamatan yang tidak menentu, serta keperluan meningkat keupayaan pertahanan sebagai angkatan masa hadapan yang berkredibiliti, sebagaimana dinyatakan dalam Kertas Putih Pertahanan,” katanya.

Beliau turut menyeru warga ATM mengimbau semula empat teras keutamaan, iaitu memperkasa kesiagaan aset ATM, memperkasa warga ATM yang cemerlang, mengukuhkan keupayaan ATM dalam domain siber dan menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan.

“Oleh itu, amat penting untuk kita terus menanamkan dalam jiwa kita berkenaan kepentingan merealisasikan teras keutamaan ini, demi menjadikan kita semua sebagai satu ketumbukan nasional yang holistik dan mampan,” katanya.

Bersempena Hari ATM ke 87, Affendi yang mewakili seluruh warga ATM, turut melafaz ikrar taat setia tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah, selaku pemerintah tertinggi ATM.

“Sesungguhnya kami memegang teguh ikrar kesatria untuk mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan strategik negara, sehingga ke titisan darah terakhir,” katanya.

Beliau juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Polis Diraja Malaysia; agensi penguatkuasaan lain; jabatan kerajaan, media massa dan semua pihak yang memberi sokongan dan kerjasama padu kepada ATM. – BERNAMA