Input your search keywords and press Enter.

Belum Ada Keperluan Laksana SJR Dalam Bandar Alor Setar

M Update, 18/9/2020 – Polis melihat tiada keperluan buat masa ini untuk mengadakan  sekatan jalan raya (SJR) di bandar raya Alor Setar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Nor Azman Mohd Noor yang dihubungi Bernama berkata polis sentiasa mengadakan kawalan, rondaan dan pemantauan 24 jam setiap hari. 

“Kita ada pasukan pemantau, unit ronda motosikal dan kereta peronda polis (MPV) yang bertugas setiap hari. Mereka ini akan membuat pemeriksaan kenderaan, individu serta premis termasuk memberi respons sekiranya berlakunya insiden-insiden lain. 

“Kita turut mempunyai pusat kawalan daerah yang memantau aduan atau panggilan. Selain itu, operasi oleh bahagian trafik juga dilakukan bagi menertibkan pemandu supaya tidak melanggar peraturan jalan raya,” katanya mengulas dakwaan beberapa pihak bahawa penduduk di dalam kawasan bandar masih bebas bergerak ketika pelaksanaan PKPD. 

Setakat ini, katanya SJR tidak perlu dilaksanakan di dalam bandar kerana kawasan itu semakin lengang berikutan kesedaran masyarakat yang mematuhi arahan untuk terus kekal berada di rumah masing-masing. – BERNAMA