Input your search keywords and press Enter.

Hanya 1.8 Juta Rakyat Malaysia Respons E-Census – Ketua Perangkawan

M Update, 25/9/2020 – Hanya 1.8 juta rakyat Malaysia telah mengisi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) secara dalam talian atau e-Census sejak dilaksanakan pada 7 Julai lepas, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir berkata jumlah itu adalah rendah iaitu masih di bawah sasaran 30 peratus atau kira-kira 9 juta daripada keseluruhan 32.7 juta penduduk Malaysia.  Bagaimanapun beliau berharap jumlah itu akan terus meningkat walaupun mengakui sukar untuk mencapai sasaran awal.

“… Jadi (e-Census) kemungkinan rendah daripada yang disasarkan dan benda ini juga dijangkakan. Sebab banci ini adalah proses yang sinonim bahawa orang akan melawat ke rumah, jadi kalau menyatakan ia perlu diisi secara dalam talian, perkara itu agak tidak biasa.

“(Tetapi) semalam kami telah dapat peningkatan lebih 100,000 (bancian). Di peringkat akhir ini memang orang Malaysia akan buat dan kami jangka ia akan meningkat walaupun mungkin sasaran 30 peratus itu sukar dicapai,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Temu Bual Radio anjuran Bernama Radio yang bertajuk ‘Banci dan Kesihatan’.

Mohd Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata daripada jumlah banci yang diterima setakat ini, di beberapa negeri menunjukkan peningkatan iaitu Putrajaya lebih 40 peratus manakala Perak melebihi 10 peratus dan Johor kira-kira 8 peratus. Bagaimanapun, negeri di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu masih lagi rendah kira-kira dua peratus.

Fasa pertama Banci 2020 atau e-Census kini dijalankan secara dalam talian dari 7 hingga 30 Sept, diikuti fasa kedua yang akan dijalankan secara bersemuka oleh pembanci dari 7 hingga 24 Okt. 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata setiap pembanci akan melawat 100 rumah sepanjang tempoh bancian fasa kedua dengan purata kira-kira lapan rumah sehari.

“Dalam sistem kami boleh lihat rumah mana yang telah menghantar e-Census tidak akan dilawati, sebab sudah ada dalam sistem. Jadi kami akan pergi ke rumah yang belum dibanci.

“Jadi kami menyeru kepada rakyat Malaysia yang masih berpeluang untuk melaksanakan e-Census ini untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing supaya tidak perlu menunggu pembanci untuk datang ke rumah,” katanya. – BERNAMA