Input your search keywords and press Enter.

KPT Tidak Tangguh Daftar Masuk Pelajar Universiti, Kolej

M Update, 25/9/2020 – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bercadang menangguhkan pendaftaran kemasukan pelajar ke universiti atau kolej di seluruh negara, yang dijadualkan bulan hadapan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata pihaknya sudah mengarahkan semua universiti mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi proses kemasukan itu.

“Saya percaya, semua universiti sedang menyiapkan SOP dalam menerima pendaftaran kemasukan pelajar yang akan tiba mulai bulan depan. KPT juga akan sentiasa menerima pandangan dan mendengar arahan dari Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kalau KKM mengatakan bahawa ditunda, kita akan mengikut arahan tetapi setakat ini belum ada,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada kemungkinan kemasukan pelajar ke IPT akan ditangguhkan berikutan peningkatan COVId-19 terutama di Sabah.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran UiTM Prihatin di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA Shah Alam, di sini. Noraini berkata, Sabah juga setakat ini, tiada arahan penangguhan.

“Di Sabah, bukan semua tempat adalah zon merah, seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terletak di Kota Kinabalu, itu bukan Zon Merah. Sama juga dengan Kolej Komuniti, setakat ini belum ada apa-apa arahan diberikan oleh pihak kolej berkenaan mengenai apa-apa penangguhan, setakat ini belum ada lagi,” katanya.

Beliau berkata, bagi pendaftaran kemasukan pelajar, setiap universiti atau kolej melaksanakannya secara berperingkat, malah tarikhnya tidak semestinya sama di antara satu sama lain.

“Sekarang ini perbincangan awal sudah dibuat di peringkat universiti masing-masing dan sebenarnya pelajar-pelajar sudah mula masuk sejak Julai tempoh hari dan dibuat secara berperingkat.

“Insya Allah, kalau mengikut SOP yang ditetapkan kita boleh elak semua gejala yang tidak diingini,” katanya. – BH Online