Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Muktamadkan Pemilihan Vaksin COVID-19 Awal 2021 – MOSTI

M Update, 29/9/2020 – Kerajaan berkemungkinan memuktamadkan pemilihan vaksin COVID-19 menjelang awal tahun 2021, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, data daripada beberapa ujian klinikal vaksin COVID-19 yang berada pada fasa ketiga, dijangka dianalisis hujung tahun ini. MOSTI juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara berkenaan implikasi undang-undang dan model perolehan bagi vaksin COVID-19.

“Kita juga sedang berbincang dengan syarikat farmaseutikal antarabangsa lain bagi pembekalan terus tanpa melalui pelan peruntukan vaksin COVID-19 Vaccine Global Access (Covax).

“Saya sudah meminta satu perjanjian dengan negara China dimuktamadkan secepat mungkin berikutan draf perjanjian hampir siap,” katanya selepas melancarkan pengecas tanpa wayar nanotech (METT) yang pertama di Malaysia, di sini hari ini.

Khairy berkata, rundingan dengan Covax bagi penyertaan Malaysia bagi mendapatkan kemudah vaksin COVID-19 yang diperlukan, masih berlangsung.

“Ada beberapa perkara yang masih dalam perbincangan dengan Covax. Kemudahan ini adalah kemudahan pembelian awal, jadi model perolehan ini agak luar biasa. Kita bayar untuk benda yang masih belum lagi wujud,” jelasnya.

Antara syarikat yang telah memulakan ujian klinikal terakhir vaksin COVID-19 termasuk Moderna, Pfizer and BioNTech, AstraZeneca, University of Oxford dan Johnson & Johnson. – BERNAMA