Input your search keywords and press Enter.

COVID19: Semua Negeri Kini Berada Dalam Zon Kuning

M Update, 1/10/2020 – Semua negeri kembali merekodkan kes baharu semalam dan kelmarin, sekali gus tiada lagi negeri dalam senarai Zon Hijau berdasarkan klasifikasi kawasan COVID-19.

Kebanyakan kes baharu direkodkan membabitkan individu yang baru pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 11,224 kes dengan jumlah 1,124 kes aktif. Manakala di Sabah sebanyak 35 kes baharu dikesan iaitu 18 daripada saringan bergejala, sembilan daripada Kluster Bangau-Bangau, tiga daripada saringan kontak rapat, empat Kluster Benteng di Lahad Datu dan satu kes saringan kematian di Hospital Tawau.

Setiap negeri mencatatkan kes COVID-19 semalam kecuali Melaka dan Putrajaya, yang masing-masing kali terakhir merekodkan satu kes positif semalam. Berdasarkan klasifikasi, Zon Kuning merujuk kawasan yang mempunyai satu hingga 20 kes positif, manakala Zon Hijau adalah kawasan yang tiada kes positif.

Bagi lain-lain negeri, 13 kes dikesan di Kedah termasuk tiga daripada kluster baharu iaitu Kluster Tembok yang turut merekodkan satu kematian, diikuti Selangor (10), lapan di Johor, empat di Sarawak, masing-masing tiga kes di Kuala Lumpur dan Terengganu, diikuti masing-masing dua kes di Pahang dan Perlis dan Kelantan, serta satu kes masing-masing di Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Labuan.