Input your search keywords and press Enter.

Sekatan Perjalanan Keluar Ke Sabah Berkuat Kuasa Bermula 12 Okt – Ismail Sabri

M Update, 7/10/2020 – Bermula 12 Okt hingga 25 Okt depan, sekatan perjalanan keluar dari Sabah akan dikuatkuasakan berikutan peningkatan kes COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, sekatan pergerakan antara negeri Sabah dengan Semenanjung, Sarawak, dan Labuan akan bermula hari ini hingga 20 Oktober. Bagaimanapun, Perdana menteri dalam Perutusan Khasnya semalam membuat keputusan untuk memberi lebih banyak masa sebelum sekatan ini dilakukan. Jadi, tarikh baru sekatan pergerakan itu akan berkuatkuasa mulai 12 Oktober hingga 25 Oktober.

Sekatan perjalanan itu meliputi perjalanan dari Sabah ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan. Bagaimanapun terdapat pengecualian khas diberikan kepada kes-kes tertentu yang melibatkan kes kecemasan, kematian, perkhidmatan perlu dan lain-lain, yang perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagi individu yang telah mendapat kebenaran, perlu menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Manakala bagi pergerakan masuk ke negeri itu pula, kebenaran akan diberikan kepada beberapa kategori iaitu rakyat Sabah yang memegang MyKad kod H dan pasangan kepada rakyat Sabah yang memiliki pas imigresen Malaysia, yang sah tempoh yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah atau bukti perkahwinan dan sijil lahir anak.

Selain itu kebenaran turut diberikan kepada pekerja bidang perkhidmatan perlu yang mempunyai pas Imigresen Malaysia yang sah tempoh dan pelajar bukan rakyat Sabah yang mempunyai kad pelajar daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Sabah. Turut dibenarkan, pemastautin tetap Sabah yang memiliki MyPR kod H atau Kad Permit Masuk atau endosmen permit masuk, dalam passport.

Bagi anggota perkhidmatan awam persekutuan yang berkhidmat di Sabah, mereka perlu mendapatkan cop Seksyen 66(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 di Pejabat Imigresen Sabah, setelah masuk ke negeri itu. Mereka yang ingin memasuki negeri itu perlu membuat permohonan kepada Jabatan Ketua Menteri melalui Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan untuk pertimbangan dan perlu menjalani ujian saringan COVID-19 oleh KKM, setibanya di pintu masuk destinasi masing-masing.

Sebarang pertanyaan lain boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Sabah di talian 088-369434.