Input your search keywords and press Enter.

Aliakbar ADUN Pertama PAS Di Sabah

M Update, 8/10/2020 – Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan antara empat ahli politik yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, hari ini. Pelantikan itu menjadikan Aliakbar sebagai pemimpin pertama PAS Sabah menjadi ADUN di negeri itu.

Tiga lagi yang dilantik ialah Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi; Bendahari UMNO Sabah, Suhaimi Nasir; dan Pengerusi Penggerak Komuniti Negara Parlimen Libaran, Jaffari Waliam. Semua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bersama lima menteri dan 18 pembantu menteri di Istana Negeri, hari ini.

Berikutan pelantikan itu, Aliakbar, 49, yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) adalah pemimpin PAS pertama di Sabah menjadi ADUN di negeri itu. Beliau yang berasal dari Kampung Kota Ayangan, Keningau sebelum ini adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain memegang jawatan Setiausaha PAS negeri, beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. PAS yang menyokong Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September lalu. Bagaimanapun, parti itu menurunkan jenteranya untuk membantu PN dan rakan sekutunya di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang kempen PRN berkenaan.

Selepas GRS berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah, pemimpin PAS Pusat dan UMNO menyatakan harapan supaya parti itu diberikan tempat sebagai ADUN Dilantik walaupun dibantah rakan parti tempatan khususnya Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

PBS dan STAR sebelum ini menjelaskan tiada perbincangan untuk melantik wakil PAS, selain menganggap kehadiran parti berasaskan Islam itu tidak bersesuaian dengan budaya di Sabah. PAS bagaimanapun sudah lama bertapak di Sabah dan pernah menyertai beberapa pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, namun gagal memenangi sebarang kerusi.