Input your search keywords and press Enter.

‘Road Tax’ Motosikal Kini Boleh diperbaharui Di MyEG Mulai 9 Okt – JPJ

M Update, 8/10/2020 – Orang ramai boleh memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) motosikal mereka secara dalam talian melalui sistem MyEG mulai 9 Okt ini, demikian menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Kenyataan JPJ menyebut bagi Lesen Memandu Kompeten (CDL) pula, pembaharuan secara dalam talian akan dilaksanakan mulai 16 Okt ini.  Bagaimanapun, pembaharuan secara dalam talian itu tidak termasuk Lesen Belajar Memandu (LDL) dan Lesen Memandu Percubaan (PDL).

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, beberapa perkhidmatan JPJ terganggu disebabkan penutupan kaunter akibat pandemik COVID-19 yang berleluasa. Justeru melalui inisiatif ini, perkhidmatan JPJ akan menjadi lebih cekap dan mampan bagi memastikan kelangsungan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat.

Pelaksanaan ini merupakan inisiatif kerajaan untuk mendigitalisasikan perkhidmatan sedia ada kepada orang ramai selaras dengan amalan norma baharu yang praktikal. Ketika ini, perkhidmatan secara dalam talian melalui sistem myEG ialah bagi urusan pembaharuan LKM bagi kereta persendirian sahaja, kata JPJ.