Input your search keywords and press Enter.

PKPP Masih Berkuat Kuasa Seluruh Negara, Jangan Pandang Ringan SOP – Ismail Sabri

M Update, 19/10/2020 – Orang ramai diingatkan tidak memandang ringan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 terutama dari segi pemakaian pelitup muka kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih berkuat kuasa di seluruh negara.

Walaupun diisytiharkan PKPB dan PKPD di beberapa lokasi atau lokaliti, seluruh Malaysia masih lagi dalam PKP, tapi dalam keadaan yang agak longgar apabila kita memperkenalkan PKPP. Selagi PKP, sama ada Bersyarat, Diperketatkan atau Pemulihan, ia masih lagi tertakluk di bawah Akta 342. Kesalahan yang disenaraikan di bawah akta tersebut boleh dikuatkuasakan dan tindakan undang-undang boleh dikenakan.

Walaupun beberapa lokaliti dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) dan Bersyarat (PKPB), ini tidak bermakna kawasan lain bebas daripada undang-undang. Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa selagi PKPP dilaksanakan di seluruh negara dan tindakan boleh diambil jika berlaku pelanggaran perintah. – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Undang-undang itu bukan hanya terpakai kepada individu yang ingkar tetapi juga premis perniagaan yang boleh dikenakan tindakan seperti dikompaun ataupun diarah tutup.