Input your search keywords and press Enter.

Belanjawan 2021 Tidak Akan Dipolitikkan – Tengku Zafrul

M Update, 28/10/2020 – Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz melahirkan keyakinan bahawa Belanjawan 2021 tidak akan dipolitikkan dan mendapat sokongan jitu daripada ahli-ahli Parlimen demi kemakmuran bersama.

Beliau memetik peringatan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk semua memberhentikan segala “politicking” yang telah menganggu kestabilan negara. Tengku Zafrul seterusnya berkata Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat bagi menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Menurut Tengku Zafrul, Belanjawan 2021 akan meneruskan momentum pemulihan ekonomi yang telah digerakkan sejak bulan Mei yang lalu serta menerusi kesemua pakej rangsangan ekonomi, iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN PKS+, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan KITA PRIHATIN.

Sehubungan itu, beliau ingin berkongsi bahawa beliau dan warga Kementerian Kewangan sedang berusaha dengan penuh komitmen dan dedikasi untuk menyediakan Belanjawan 2021 yang komprehensif dan tertumpu kepada kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu demi negara Malaysia yang tercinta,” kata beliau ketika membentangkan laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-27 menerusi akaun Facebook semalam.