Input your search keywords and press Enter.

Serangan Perancis: Pemimpin Dunia Kutuk Insiden Pembunuhan

M Update, 30/10/2020 – Pemimpin dunia mengutuk insiden pembunuhan di Nice, semalam, yang disifatkan Perancis sebagai serangan pengganas Islam.

Mereka yang mengecam termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, selain pemimpin Eropah, Arab serta Israel.

“Serangan pengganas Islam radikal ini mesti dihentikan segera. Tiada negara, sama ada Perancis mahupun yang lain, boleh terus berdepan kejadian sebegini!” kata Trump menerusi Twitter.

Antara yang terawal mengutuk insiden berkenaan ialah Turki, meskipun bertelagah dengan Perancis berikutan negara itu membenarkan penerbitan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW sehingga mencetuskan serangan terhadap rakyat Perancis.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan di dalam gereja Notre-Dame di Nice, hari ini (semalam),” kata Kementerian Luar Turki dalam satu kenyataan.

Turki sekali gus menzahirkan solidariti bersama Perancis, dan mengucapkan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang maut dalam serangan terbabit.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif, turut mengutuk serangan itu dan pada masa sama, menegaskan bahawa ‘keamanan tidak boleh dicapai dengan provokasi yang buruk’. Di Asia Barat, pemimpin Arab dan Islam menegaskan perbezaan jelas antara agama Islam dengan tindakan ganas yang kononnya bagi mempertahankan agama berkenaan.

Kementerian Luar Mesir berkata, kerajaan dan rakyat negara itu berdiri bersama Perancis dalam usaha memerangi insiden kebencian terbabit. Qatar tidak ketinggalan mengutuk keras kejadian berkenaan dan mengulangi pendirian negara itu yang menolak keganasan, khususnya di rumah ibadat, tanpa mengira motif. Kementerian Luar Qatar turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri, pula menggesa umat Islam supaya ‘menolak tindakan jenayah itu yang tiada kaitan dengan agama Islam atau Nabi Muhammad SAW.’ – AFP/BH Online