Input your search keywords and press Enter.

Dewan Rakyat : Belanjawan 2021 Peringkat Jawatankuasa Jadi Tumpuan

Dewan Rakyat yang menyambung sidang hari ini, dijangka terus hangat dengan tumpuan terarah kepada sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa. – Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia.

M Update, 30/11/2020 – Dewan Rakyat yang menyambung sidang hari ini, dijangka terus hangat dengan tumpuan terarah kepada sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa.

Sesi hari pertama yang dijadual bermula jam 11 pagi selepas selesai aturan soal jawab lisan dijadual berlangsung selama 10 hari sehingga 15 Disember depan, dengan 27 kementerian akan menggulung persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen pada sesi perbahasan.

Hari ini, dua kementerian iaitu Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan akan memulakan perbahasan, dengan sesi penggulungan dan undian dijangka diselesaikan petang ini.

Sebelum itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijadual membentangkan RUU Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2020 bagi bacaan kali pertama, seperti dinyatakan dalam Aturan Mesyuarat.

Berdasarkan aturan giliran sesi penggulungan RUU yang diedar kepada kementerian sebelum ini, dua atau tiga kementerian akan menggulung perbahasan setiap hari sehingga hari terakhir perbahasan RUU.

Beberapa kementerian ‘panas’ yang banyak disentuh sepanjang sesi perbahasan peringkat dasar, diletakkan pada hari-hari penghujung antaranya Kementerian Kesihatan pada 9 Disember, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (10 Disember) dan Kementerian Pendidikan pada 15 Disember.

Isu peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang dijenama semula sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dijangka menjadi perhatian ahli dewan, dengan perdebatan bukan sahaja menyentuh aspek pemotongan peruntukan agensi itu tetapi kaedah pemilihan kakitangannya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, sebelum ini menjelaskan J-KOM diwujudkan dengan matlamat sebagai komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat dengan penyaluran maklumat tepat, sahih serta bijaksana, sekali gus menjadikan peranannya berbeza dengan JASA.

Selain itu, isu pengagihan peruntukan RM620 juta bagi penyelenggaraan 10,223 sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan yang diumum dalam Belanjawan 2021, juga dijangka menarik perhatian ahli dewan.

Ramai Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini mempertikaikan kaedah agihan peruntukan penyelenggaraan membabitkan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang tidak diperincikan secara jelas dalam agihan belanjawan tahun depan.

Sudah pasti, tumpuan juga berpusat kepada isu peruntukan melawan pandemik COVID-19 di bawah Kementerian Kesihatan, yang banyak dipersoal ramai Ahli Parlimen pembangkang termasuk pemotongan beberapa peruntukan di bawah kementerian berkenaan.

Sesi penggulungan RUU bagi bacaan ketiga ini penting untuk membolehkan setiap peruntukan diunjur dalam Belanjawan 2021 iaitu selepas ia diluluskan pada peringkat dasar Khamis lalu, boleh disalurkan kepada semua kementerian.

Melihat kepada perkembangan semasa, pembangkang dijangka tidak memberi laluan mudah untuk meluluskan RUU Perbekalan 2021 pada peringkat ini dan mereka akan meminta undi belah bahagian dijalankan.

Sementara itu, jurucakap Parlimen yang dihubungi memaklumkan, keputusan menetapkan hanya 80 Ahli Parlimen berada dalam dewan kekal terpakai, namun kebenaran masuk semua Ahli Parlimen akan diberi sebaik sesi penggulungan bagi setiap kementerian bermula.

Katanya, ini bagi membolehkan semua Ahli Parlimen mengundi pada sesi undian sekiranya ada permintaan daripada Ahli Parlimen untuk membuat undian belah bahagi.

Ditanya sama ada sesi persidangan harian minggu ini akan dilanjutkan, beliau berkata, ia tertakluk kepada keputusan kerajaan dan jika ada, usul akan dikemuka oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan mengikut peraturan 12(1) hari ini.

Rabu lalu, Takiyuddin membentangkan usul supaya sidang Dewan Rakyat dilanjutkan sejam sehingga jam 3 petang bagi membolehkan sidang dewan memberi masa kepada lebih ramai menteri menggulung RUU Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021 peringkat dasar.