Input your search keywords and press Enter.

SKMM : Bangunkan 61 Menara Komunikasi Di Perkampungan Orang Asli

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membangunkan 61 menara komunikasi yang memberikan liputan di kawasan perkampungan Orang Asli, setakat Oktober tahun 2020.  

M Update, 1/12/2020 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membangunkan 61 menara komunikasi yang memberikan liputan di kawasan perkampungan Orang Asli, setakat Oktober tahun 2020.  

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata pada masa sama, terdapat lapan menara masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat bermula suku pertama tahun 2021. 

“Daripada lapan ini, termasuk dua di Cameron Highlands iaitu di Pos Lemoi dan Pos Kg Telimau. Melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) (fasa 1), sebanyak 85 menara baharu dengan perkhidmatan 4G akan dibina di 136 kampung Orang Asli di seluruh negara dan dijangka mula pelaksanaannya pada suku kedua tahun 2021. 

“Antara 85 menara itu, 11 berada di Cameron Highlands, 38 di negeri Pahang, 19 di Perak. Kami akan terus bekerjasama dengan pihak industri, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk merancakkan lagi soal penyediaan ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) yang bertanya mengenai tahap liputan internet dalam kalangan komuniti Orang Asli dan rancangan untuk menambah baik perkhidmatan itu. 

Selain itu, Saifuddin turut memaklumkan kementerian sedang menilai sejauh mana penggunaan dan keberkesanan pusat internet yang terdapat di kawasan Orang Asli.